MENCARI HIDUP ABADI

Latest Posts

Saya dan Bateri Sun Global

Salam hujung minggu,


Mungkin ramai yang tahu dan mungkin juga ramai yang tidak tahu bahawa saya memang suka untuk berniaga sedari kecil lagi. Semuanya hasil pengaruh ayah menjaja hasil taninya di pasar Dungun, sedikit sebanyak mencerahkan pemikiran dan tanggapan dengan jerih perih dunia perniagaan.


Akhir November 2011 saya mulakan perniagaan saya dengan Sun Global. Perniagaan hanya terbatas di atas talian kerana rutin sehari-hari saya di pejabat perlu juga untuk diteruskan. Saya iklankan di mudah.my dan juga di kedai online saya di lelong.my. Oh, kedai saya di lelong.my sebenarnya sudah 3 tahun wujud, tetapi tidaklah terlalu aktif. Sambutan amat menggalakkan, kerana Sun Global bukanlah jenama baru yang perlu diperkenalkan kepada pencinta gajet. Januari 2012 saya perbaharui kedai saya di my1stop.my yang seperti hidup segan mati tak mahu itu. Azam mahu melaksanakan sesuatu yang lebih baik untuk tahun 2012 ini.


Kenapa Sun Global?


Sebagai salah seorang pengguna Blackberry, saya maklum dengan masalah yang selalu kami hadapi, iaitu dahaganya telefon ini dengan kuasa bateri. Biasanya tidak sampai pun habis waktu bekerja, bateri sudah mulai flat. Amat merimaskan apabila perlu sentiasa berada di sebelah plug untuk memastikan bateri sentiasa dalam keadaan memuaskan. Lantas Sun Global memberikan pilihan yang lebih baik. Sebagai contoh, kapasiti bateri original Blackberry Torch 9800 hanyalah sekitar 1270mAh, tetapi Blackberry mampu mengeluarkan bateri berkapasiti yang lebih tinggi, iaiu 1800mAh, sekitar 41% lebih tinggi, dan secara teorinya, lebih lama. Begitu juga dengan Blackberry Bold 9700 atau 9780, yang berkapasiti 300mAh lebih tinggi daripada bateri asalnya. Untuk lebih realistik, kita perlu juga mengambil kira kedudukan pemancar dan juga kekuatan signal yang boleh mempengaruhi ketahanan sesuatu bateri jika perbandingan secara terus (direct comparison) ingin dilakukan.


Berikut adalah antara testimoni pelanggan yang berpuas hati berurusan dengan saya, dan yang lebih penting, berpuas hati dengan produk yang baru mereka miliki.


Click to enlarge




Jadi itulah antara testimoni yang saya dapat secara bertulis dan berekod. Ada banyak lagi yang elok-elok maklum balasnya yang saya terima. Cuma satu yang saya hairankan, iaitu mengikut kajian saya, mereka yang menggunakan Blackberry yang original daripada RIM, mendapat ketahanan bateri yang lebih lama berbanding mereka yang menggunakan Blackberry AP ataupun reconditioned. Mungkin juga ketulinan OS memberi pengaruh kepada prestasi bateri Blackberr masing-masing.


Jadi kepada mereka yang mungkin berminat mencuba bateri Sun Global, boleh lah jengan-jengah kedai online saya, iaitu


http://along18284.lelong.my


atau


http://adifzhafran.my1stop.my


Suka juga saya ingatkan bahawa saya lebih sukakan jika pembelian dilakukan di http://adifzhafran.my1stop.my memandangkan kos operasi yang lebih rendah berbanding di lelong.


Selamat merasai sendiri perhubungan sepanjang hari melalui telefon pintar saudara.


















read more...

Sindrom Kurang Makan

Perut pedih. Mahu disuap nasi ke mulut tapi perut seperti enggan menerima. Apa kena denganmu perut? Mahu meragamkah? Doktor sudah pesan, stress kalau boleh harus sifar. Baru tiada kesan pada perut. Baru perut tidak meragam. Tapi apakah mungkin hidup tanpa tekanan? Dengan masalah kerja, masalah peribadi, masing-masing berebut mahu membunuh diri, memaksa adrenalin bagai dipam-pam, memaksa jantung berdegup lebih kencang, memaksa juga oksigen melebar ke segenap inci tubuh.










































Mujur masih ada solat yang perlu dilakukan. Mujur masih boleh ketika sujud. Mujur Islam tinggalkan penyelesaian.


Saya perlukan omeprazole, dan juga sedikit nasi.








Abuakifmirzan, 6 January 2012
read more...

Salam Tahun Baru 2012

Bersawang sungguh blog saya yang tak berapa nak hidup ini. My last published was on the 16th October 2011, that was 4 days after Adif Zhafran was born. Sekarang dah 5 January 2012, dan selepas 84 hari berkampung di Pusat Perubatan Universiti Malaya, dengan segala debaran dan taklimat daripada segala jenis doktor dan pakar, Adif Zhafran dibenarkan keluar, dengan kepalanya yang masih lagi ada 'kecacatan' hydrocephalus dan simpton apnea yang kadang kala menerbitkan rasa cemas di hati saya dan isteri.




Alhamdulillah, sungguh rahmat Allah itu luas selama mana kita tidak berputus asa dengan rahmat-Nya. Cabaran membesarkan Adif terbentang lebih mencabar di hadapan, pengawasan yang kalau boleh 24/7 tanpa lepas untuk memastikan kesejahteraan si anak. Jika itu yang perlu dilakukan maka itulah yang akan dilakukan sebaik mungkin. Saya berasa bersyukur yang amat sangat dengan kedatangan Adif, rezeki saya semakin melebar untuk melunaskan segala hutang yang tertunggak, segala bil perubatan dan segalanya bagi meneruskan kelangsungan hidup yang lebih sempurna, Insyaallah.


Ada sahabat-sahabat yang sudi mendoakan kesihatan anak saya sepanjang berada di ICU Neonatal PPUM. Saya ucapkan jutaan terima kasih. Doa kalian telah memudahkan perjuangan Adif. Boss saya pernah memesan, bahawa walau segala ubat yang diberikan kepada si sakit, kita ada senjata yang paling ampuh untuk memberikan harapan dan sinar, iaitu doa. Maka jangan malu dan sombong untuk berdoa dengan Allah. Kuasa Allah lebih daripada apa yang kita boleh bayangkan.


Untuk tahun 2012 saya harap saya boleh meluangkan masa untuk lebih menulis, tentang apa-apa sahaja yang menarik perhatian saya, agar boleh dikongsikan dengan sahabat yang sudi menjengah. Menulis memerlukan pembacaan, maka itu jugalah yang saya harapkan, agar koleksi buku-buku bacaan ilmiah boleh ditambah untuk santapan rohani.


Saya pasti sahabat-sahabat masing-masing ada sesuatu yang diharapkan untuk tahun ini. Sama-samalah kita berusaha ke arah cita-cita kita itu. Tetapi harus diingat, hari semalam adalah yang paling jauh dengan kita. Buatlah macam mana pun, ia tidak akan datang kembali. Sedar-sedar, maut datang memanggil. harap-harap kita sudah pun bersedia ketika berjumpa dengan Izrail.


Semalam ketika berjemaah Maghrib, terdetik dalam hati, andai kita diberi peluang untuk memilih cara kita mati, maka saya memilih untuk mati dalam keadaan melakukan solat.


Salam 2012.
read more...

Selamat Datang Adif ke Bumi Allah

Syukur ke hadrat Allah kerana hanya dengan izin-Nya sahajalah lahirnya anak kedua saya pada 12 Oktober 2011 yang lalu. Adif lahir di Pusat Perubatan Universiti Malaya, dengan berat hanya 1.15kg kerana dilahirkan pada minggu ke 29 (7 bulan).

Kepala Adif lebam. Lama sangat di hold sebelum boleh meneran. Paru-paru dan semua organnya pramatang, kurang boleh untuk berfungsi. Pernafasan mesti dibantu dengan mesin.Paru-paru Adif terpaksa pula ditebuk untuk mengeluarkan udara yang ada, yang menolak ubatan yang cuba diberikan. Selepas 2 hari, keadaan Adif semakin baik. Minta doa-doakan yang baik-baik sahaja untuk putera kesayanganku ini.

Saya berasa begitu dekat dengan Adif. Pertamanya jasadnya lebih mirip saya yang menulis, tatkala Akif lebih meniru ibunya. Rambutnya lebat. Ada bulu di badan Adif. Mukanya lebih mirip saya, saya rasa. HAmpir setiap hari saya ke wad ICU, melihat Adif. Menutur bicara dan memberi sokongan buat si anak. Memberi kata-kata semangat. 

Adif kena kuat yer. Anak ayah kena kuat-kuat. Cepat-cepat sihat, boleh jumpa ibu, boleh jumpa ayah, boleh jumpa abag Akif. Nanti boleh main-main dengan abang Akif. 

Saya tuturkan Al-Fatihah, tuturkan ayatul Kursi. Dengan berkat Rahman dan Rahim-Nya, moga-moga Adif boleh tempuh semua ini, moga besar kelak membalas jasa Allah pada Adif, menjadi insan yang berguna untuk ibu dan ayah, untuk agama dan untuk tanah tumpahnya darah kita.

Sempat juga ayah azankan di telinga Adif. Harap Adif dengar yer persaksian yang satu itu. Selamat datang ke dunia sayang, persinggahan sementara kita sebelum kembali bertemu Allah.

Ayah sayang Adif.
read more...

Islam dan Kemerdekaan

Saya ingin mewar-warkan akan adanya Forum Perdana yang bakal diadakan di Masjid Kota Damansara pada 10 September 2011, Sabtu ini. Sesiapa yang berkelapangan dan tinggal berhampiran, jemputlah datang mencari sehelai dua ilmu buat menjadi bekal hati kita untuk hidup sehari-hari.


read more...

Salam Eid al Mubarak 2011

Salam Aidil Fitri untuk semua pembaca dari saya dan keluarga. Raya dah masuk hari ke 8, baru nak ucap selamat raya dalam blog. Al maklum, perjalanan untuk beraya di Terengganu, kemudian ke kampung isteri di Kelantan menuntut tumpuan dan kudrat yang bukan sedikit. Terpaksa juga melupakan dunia blog melainkan apa yang mampu dilayar oleh telefon Sony Ericsson antik saya.

Balik ke kampung, yang merupakan fitrah, yang juga sesuai dengan perayaan ftrah yang kita sambut, menuntut kesedaran ke dalam diri bahawa kembali ke fitrah lah pengubat paling mujarab menawar segala penyakit rindu yang terpendam. Justeru, kalau ada yang tertekan dengan hidup di bandar dengan kerjanya yang tak sudah-sudah, jenguklah kampung dan ibu bapa selagi mereka ada, lepaskan bebanan kerja di kampung, peganglah cangkul titiskan sebutir dua keringat di tanah bendang ayah atau atuk.

Maaf dan ampun dipinta kalau ada yang terasa hati, berulamkan jantung dengan kata-kata saya mungkin. Khilaf sebagai insan itu tidak mungkin saya dapat hindari, melainkan itu menjadi wajib ke atas saya untuk dicalitkan ketidaksempurnaan itu kerana diri yang bukan maksum.





















Moga madrasah Ramadhan yang kita tinggalkan membuatkan kita menjadi insan yang lebih baik, Amin.

Jom pula kita berpuasa 6 hari di bulan syawal. Sebulan boleh kita tahankan, inikan pula 6 hari di bulan Syawal. Jom!

P/S: Ya Allah, Kau temukanlah kami dan keluarga kami dengan Ramadhan yang akan datang. Amin

Abu Akif
07/09/2011
8 Syawal 1432H
read more...

JUBM Last Day July 2010

Coretan ini adalah coretan lama dari blog lama saya juga.

 Click to enlarge


Bosan kekurangan tugas di pejabat, godek-godek entri lama dari blog lama. Saya haru akui bahawa pengalaman bekerja di JUBM adalah antara pengalaman manis dalam hidup saya yang tidak akan dapat ditukar ganti. Berikut entri lama saya.

Alhamdulillah, setelah saban hari disergah kesibukan kehidupan duniawi, dapat juga meluang sedikit masa memuat turun sekeping dua gambar sepanjang berada di JUBM. Aku masih mentah tika pertama kali kaki melangkah ke pejabat ini. Dunia terasa begitu besar, sedangkan diri terasa begitu kerdil. Sekerdil semut di lautan gula, sekerdil manusia di mata Sang Pencipta. 

Bolehkah aku melakukannya? Mahukah mereka memberiku peluang? Atau tinggi sangatkah harapan atau pandangan mereka kepadaku? Menjadi graduan UM bukanlah suatu tugas yang mudah. Dipandang tinggi menghambat suatu harapan yang menggunung, teralas di bahu kerdil ini. Namun masa mendewasakan kita. Cacian dan herdikan di serap secara positif, sedaya mungkin memahat hati bahawa setiap kesusahan yang datang pasti disusuli kesenangan. Itulah janji Raja Alam. Bahkan Dia menjanjikan 3 kesenangan untuk setiap kesusahan yang kita hadapi. Begitulah pemurahnya Dia. 

Hanya manusia yang berlagak, mengingkari sifat pemurah-Nya dengan berlagak sombong. Tiga tahun di JUBM seperti begitu cepat berlalu. Pantas. Sepantas putaran kehidupan warga kota. Juga petanda dunia hampir ke penghujung. Petanda bagi mereka yang sedar. Namun kepantasan putaran masa menghimpun juga segunung ilmu di dada buat bekal mengharung hidup sehari-hari.Dan ilmu itu terus bertambah, seiring juga dengan pertambahan usia mendekati waktu abadi. Coretan ini ku tinggalkan buat teman-teman di JUBM Sdn Bhd. Moga kalian dan saya juga terus tabah menempuh onak duri perjalanan seorang khalifah. Wasalam. 








read more...

Doakan Untuk Nia

Salam minggu terakhir bekerja sebelum menyambut Aidlifitri 2011. Tengah santai-santai di pejabat, ada sepupu menegur melalui laman Facebook memohon pertolongan mendoakan si anak kecil, Dania Emelda Aqasha yang tengah bertarung nyawa melawan leukimia. 

Di bulan baik pernah barakah, sama-samalah kita perbanyakkan doa untuk adik ini yang belum pun kenal erti dunia. Mana tahu, berkat terjumpa malam lailatul qadar, diperkenankan-Nya doa kita.Ikuti blog Ibu Nia dan sama-samalah kita mendoakan mereka. Ingat, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.


P/S: Hati saya sebak membaca kisah-kisah mereka. Y Allah,  berilah kesihatan berpanjangan buat Nia dan adik beradiknya berserta ibunya. Janganlah diuji mereka akan ujian yang tidak sanggup mereka tanggung. Engkaulah, dan hanya Engkau yang Maha Pengasih dan Penyayang. Amin.

Update: Nia sudah kembali menemui penciptanya pada 22 August 2011 pada 3.19pm, dan selamat dikebumikan pada jam 6.30pm. Sungguh janji Allah itu pasti, Nia, bidadari syurga yang bakal menolong ibunya kelak. Al-Fatihah pada rohnya.
read more...

Surat Kepada Sungai Nil



Tengah malam itu Amru al-As dikejutkan daripada tidur oleh pembantunya. "Orang ramai berkumpul di tebing Sungai Nil. Kami tidak tahu apa tujuan mereka. Kerana itu kami memaklumkannya kepada Tuan!"

"Kita ke sana sekarang!" kata Amru al-As.

Dia tertanya-tanya apakah tujuan mereka berkumpul di tebing Sungi Nil pada waktu tengah malam itu. Mungkinkah mereka hendak memberontak? Kerana itu dia mesti menyiasatnya. Apabila sampai di tempat perhimpunan itu, kedengaran suara orang ramai bersorak riang.

"Apa yang sedang berlaku? Mengapa mereka bersorak? tanya Amru al-As kepada Muiz yang berada di situ.


"Para petani mengadakan upacara korban. Mereka bersorak sebagai tanda kesyukuran kepada dewa Sungai Nil!" jawab Muiz.


"Apa yang mereka korbankan?" tanya Amru al-As lagi.


"Mereka memilih seorang gadis yang paling cantik. Kemudian dihias seperti pengantin. Menjelang tengah malam gadis itu dihumbankan ke dalam sungai sebagai tanda korban bagi dewa Sungai Nil," jawab Muiz yang sempat menyaksikan upacara itu.


"Itu adalah upacara jahiliah. Mengapa kamu tidak menghalangnya?" marah Amru al-As.


"Sekiranya dihalang pasti terjadi rusuhan. Boleh berlaku pertumpahan darah. Kerana itu kami dilaporkan perkara ini kepada tuan," jawab Muiz.

Amru al-As tidak setuju acara korban seperti itu diadakan. Keesokan harinya dia berbincang dengan ketua penduduk Sungai Nil.

"Upacara korban seperti itu kami lakukan sejak nenek moyang kami dahulu. Tujuannya bagi memberi makan kepada dewa yang menjaga Sungai Nil supaya terus memberikan kami rezeki," ketua petani itu menjelaskan.


"Seorang gadis yang cantik dilemparkan ke dalam Sungai Nil?" tanya Amru al-As lagi.


"Memang benar, tuan," jawab lelaki itu. "Setiap tahun Dewa Sungai Nil meminta seorang gadis yang cantik supaya dikorbankan. Kerana itu kami mengorbankan seorang gadis yang cantik setiap tahun sebagai memenuhi kehendak Dewa Sungai Nil," jawab lelaki itu.


"Bagaimana kamu mendapatkan gadis itu? Adakah dengan paksaaan ataupun kerelaan keluarganya?" tanya Amru al-As lebih lanjut.

"Sebenarnya tuan, setiap ibu bapa merasa gembira sekiranya anak gadis mereka terpilih dijadikan hadiah kepada Dewa Sungai Nil. Keluarga mereka dipandang tinggi oleh jiran tetangga," jawab ketua petani Sungai Nil itu.

Amru al-As tidak senang hati mendengarnya kerana upacara itu bertentangan dengan Islam. Tetapi dia tidak segera mengatakannya demi menjaga hati rakyat Mesir.


"Tahun hadapan kami menjemput tuan supaya sama-sama menyaksikan upacara korban itu. Selepas itu tuan dijamu dengan makanan dan minuman," kata ketua petani itu lagi.


"Kami datang ke Mesir atas perintah Khalifah Umar al-Khattab bagi menyebarkan Islam. Saya mesti merujuk perkara ini kepada dia terlebih dahulu. Kita sama-sama tunggu apa pandangan dia," kata Amru al-As.

Kemudian dia menulis surat kepada Khalifah Umar al-Khattab menceritakan mengenai upacara korban kepada dewa Sungai Nil itu. Ternyata Umar al-Khattab tidak bersetuju dengan upacara itu. Dia menulis surat kepada Amru al-As supaya melarang upacara itu diadakan lagi. Amru al-As mengeluarkan perintah supaya upacara korban kepada Sungai Nil dihentikan dan tidak boleh diadakan lagi. sesiapa yang ingkar perintah itu, dihukum.


Pada tahun berikutnya, penduduk Sungai Nil tidak berani mengadakan upacara itu. Tambahan pula tentera Islam berkawaal bagi memastikan upacara itu tidak diadakan. Kebetulan pada tahun itu berlaku kemarau yang panjang. Air sungai Nil mula surut. Akibatnya banyak kawasan tanah pertanian yang kering-kontang.


"Wahai tuan, Dewa Sungai Nil marah kerana tidak diberi makan. Kerana itu, air Sungai Nil semakin kering. Mereka bimbang sekiranya tidak diadakan upacara korban, air Sungai Nil menjadi kering-kontang. Akibatnya mereka kebuluran.


Amru al-As menulis surat mengadukan masalah itu kepada Khalifah Umar al-Khattab. Tidak lama kemudian surat balasan daripada Khalifah tiba. tetapi surat itu dialamatkan kepada Sungai Nil bukan kepada Amru al-As. Surat itu berbunyi,




'Daripada hamba Allah, Khalifah Umar bin al-Khattab. Surat ini ditujukan kepada Sungai Nil, di Mesir. Wahai Sungai Nil, sekiranya kamu mengalirkan air dengan kuasa kamu sendiri maka janganlah melimpahkan air. Tetapi sekiranya kamu melimpahkan air dengan izin Allah SWT Tuhan yang maha berkuasa, kami berdoa kepadaNya supaya airmu melimpah sehingga lebih daripada cukup'










Orang ramai diminta berkumpul di tepi Sungai Nil. Amru al-As membacakan surat itu di hadapan orang ramai kemudian surat itu dilemparkan ke dalam sungai. dengan izin Allah SWT, awan mendung berarak di dada langit. Tidak lama kemudian hujan turun sepanjang hari sehingga air Sungai Nil melimpah semula. Sejak itu air Sungai Nil tidak pernah kering lagi. Acara korban itu juga tidak pernah diadakan lagi.


Kredit Kopi dan Kitab







read more...

Sikap Ulama

Khalifah Al-Mansur pergi menemui seorang ulama bernama Sufyan Ats-Tsauri. Sufyan tidak pernah menziarahinya di istana. Oleh itu khalifah pun bertanya, “Apakah yang menghalang tuan sehingga tidak mahu mengunjungiku?”

Sufyan menjawab tanpa ragu-ragu, “Tidak ada apa. Cuma terdapat ayat al-Quran yang bermaksud: “Janganlah engkau bernaung kepada orang-orang yang zalim, nanti engkau dilahap api neraka. Sebab seburuk-buruknya balasan adalah bagi orang-orang yang zalim.”

Suatu ketika yang lain, Sufya Ats-Tsauri menghadap khalifah di istananya setelah berkali-kali dipanggil. Setelah bertemu, khalifah pun berkata, “Sekiranya tuan ada memerlukan apa-apa, silakan beritahu kepadaku. Aku akan penuhi permintaan tuan.”

Sufyan hanya mendiamkan diri.

Khalifah bertanya lagi, “Katakanlah, apa yang tuan kehendaki?”

Akhirnya Sufyan menyoal kembali, “Apakah tuan bersedia memenuhi apa saja permintaanku?”

Khalifah merasa gembira dengan kata-kata Sufyan itu. Sangkanya Sufyan telah berubah fikiran. Khalifah berkata lagi, “Apa saja yang tuan minta akan aku penuhi.”

Sufyan lalu menyatakan permohonannya, “Permintaan saya Cuma satu. Diharapkan tuan tidak lagi memanggil saya mengadap ke istana.”

Setelah itu Sufyan terus  keluar dari istana tanpa menoleh lagi. Khalifah hanya menggeleng-gelengkan kepala. Katanya sendirian, “Begitulah sepatutnya sikap ulama yang soleh. Tegas dengan pendiriannya.”

P/S: Zaman sekarang ulama dihentam sehabis mungkin bagi menghalalkan apa yang haram.
read more...